Setiap kali pergi ke masjid, pemuda itu mesti melalui beberapa rumah.Antaranya ada rumah yang dihuni oleh seorang gadis cantik. Gadis itu sering melihat pemuda yang setiap hari pulang dan pergi ke masjid. Pemuda itu sama sekali tidak tahu yang ada seorang gadis selalu memerhatikannya, bahkan diam-diam mencintainya.
Kerana tidak mampu lagi lagi membendung rasa cintanya, gadis itu menceritakan perasaannya kepada kaum wanita yang ada dirumahnya. Seorang wanita tua berkata, "Aku akan membuat tipu daya agar kau mendapatkannya."
Kemudian, wanita tuaitu duduk di pinggir jalan. Ketika pemuda itu melalui untuk solat berjemaah seperti biasanya, wanita itu memanggilnya. Dia berkata kepadanya, "Nak, aku ini perempuan tua. Aku memiliki kambing di dalam rumah. Aku ingin meminum susunya, tetapi aku tidak kuat lagi memerah susunya. Adakah kau boleh menolongku?"
Pemuda itu mengiakan. Dia pun masuk ke dalam rumah itu untuk memerah susu kambing. Tiba di dalam rumah, dia tidak menjimpai seekor kambing pun. Dia hanya mendapati seorang gadis cantik separuh telanjang yang terus ingin memeluknya. Pemuda itu menghindarinya. Gadis itu terus merayu dan mengajaknya melakukan perbuatan maksiat dan dilarang Allah. Pemuda itu tetap tidak mahu. Gadis itu berteriak meminta tolong. Tidak lama kemudian, orang ramai pun datang kerana teriakan gadis itu. Gadis itu mengatakan bahawa pemuda itu mengajaknya membuat perkara yang tidak senonoh dan hendak memperkosanya.
Selepas itu, orang ramai memukulnya, lalu mengikat pemuda itu. Mereka mengheretnya menghadap Umar bin Al-Khattab. Setelah sampai di hadapan Umar, Umar terperanjatapabila melihat wajah pemuda itu. Di dalam hati dia berdoa, "Ya Allah! Janganlah kau buat prasangka baikku kepada pemuda ini salah!"
Orang ramai menceritakan masalahnya, sebagaimana dikatakan gadis itu. Umar terus menoleh pada pemuda yang sudah dicederakan itu. Pemuda itu menceritakan apa yang dialaminya.
"Adakah kau mengenali wanita tua yang meminta tolong kepadamumu itu?" Umar bertanya.
"Ya, aku dapat mengenalinya," jawab pemuda itu.
Lalu, Umar mengumpulkan seluruh wanita kota Madinah. Wanita yang dikehendaki tidak ada di kalangan mereka. Tidak lama selepas itu ada wanita tua melintas.
Pemuda itu spontan berkata, "Itu dia wanita yang memperdayakanku!"
Umar memerintahkan supaya wanita itu menghadapnya. Setelah berada di hadapannya, Umar melepaskan jubah luarnya dan menyelimutkannya pada tubuh wanita itu. Kemudian, Umar berkata, "Katakanlah dengan jujur padaku, apakah sebenarnya yang terjadi . Apakah yang kau lakukan pada pemuda ini?"
Wanita itu akhirnya menceritakan hal yang sebenarnya, dia tidak berani berbohong. Apa yang dikatakan wanita tua itu sama seperti yang diceritakan pemuda itu.
Seketika itu, Umar berkata, "Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang yang seperti Nabi Yusuf di kalangan kita."
Pemuda Penakluk Syahwat